19 JUN: Malaysia dan Arab Saudi akan bekerjasama untuk memulihkan serta menggalakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan kedua-dua negara, termasuk dalam mempromosikan Pelancongan Mesra Muslim (MFT) sebaik COVID-19 berakhir.
Kerjasama itu dibincangkan antara Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pelancongan Arab Saudi, Ahmed Al-Khateeb menerusi pertemuan secara virtual, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Dr Noor Zari Hamat.
Nancy berkata, bagi tujuan itu, Malaysia sedang mengenal pasti pelbagai produk pelancongan baharu untuk dipromosikan ke luar negara.
Usaha itu, katanya, termasuk mengenal pasti ‘hidden gems’ (khazanah tersembunyi) yang belum diterokai.
“Pada sesi pertemuan dan perbincangan terbabit, Malaysia dan Arab Saudi mengadakan perkongsian maklumat berhubung polisi serta amalan terbaik, terutama dalam langkah memulihkan semula industri pelancongan.
“Kita juga mahu mempromosi bersama pelancongan menerusi media sosial dan platform digital, selain berkongsi kaedah pengurusan lestari tapak warisan kebudayaan sebagai tarikan pelancongan.
“Pada masa sama, kita mahu mewujudkan hubungan kerjasama erat antara institusi seni, warisan dan budaya serta mempromosikan MFT,” katanya menerusi kenyataan di Facebook MOTAC, hari ini.
Beliau berkata, ketika pertemuan dan perbincangan itu, Arab Saudi turut berkongsi pengalaman mereka berhubung pelancongan luar bandar.
“Perbincangan ini dijangka dapat membuka peluang lebih besar dalam bidang pelancongan antara Malaysia dan Arab Saudi khususnya serta negara-negara di Timur Tengah amnya,” katanya.
Jumlah kemasukan pelancong dari Arab Saudi ke Malaysia pada tahun 2019 adalah seramai 121,444 orang daripada keseluruhan 26.1 juta pelancong antarabangsa ke negara ini,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN