19 JUN: Kerajaan perlu mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin bagi membolehkan suara, harapan dan pelbagai tuntutan rakyat yang dalam kesusahan di kala pandemik COVID-19 dapat dibahaskan oleh wakil rakyat yang dipilih melalui sistem demokrasi berparlimen.
Justeru, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendesak kerajaan segera mengeluarkan notis panggilan bagi membolehkan Parlimen bersidang sebelum Darurat tamat 1 Ogos 2021 bagi mentaati dan menghormati titah pandangan dan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Beliau berkata kegagalan melaksanakan titah Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Pemerintah ini boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan.
“Pemuda UMNO juga akan mendesak kepimpinan tertinggi UMNO untuk membuat keputusan tegas sekiranya kerajaan tidak mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.
“Ini seiring dengan asas dan tujuan perjuangan UMNO untuk sentiasa membela dan mempertahankan kepentingan Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Asyraf berkata Pemuda UMNO menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah supaya Parlimen dapat bersidang secepat mungkin bagi membahaskan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dalam menangani COVID-19.
Berikutan itu Asyraf menegaskan sewajarnya istilah ‘secepat mungkin’ yang digunakan Yang di-Pertuan Agong amat jelas memberikan indikasi untuk Parlimen dibuka segera.
“Ini diperkukuhkan lagi oleh kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan sokongan DYMM Raja-Raja Pemerintah yang turut senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.
“Justeru, Pemuda UMNO amat terkilan dengan sikap kerajaan yang dilihat cuba berdolak-dalih dan mempolemikkan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ seolah-olah tidak menghormati titah Seri Paduka Bagindadan Raja-Raja Melayu,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI