20 JUN: Walaupun masih di paras 5,000 kes, namun jangkitan baharu COVID-19 mencatatkan penurunan kes apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 5,293 kes hari ini berbanding semalam iaitu 5,911 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan penambahan jumlah itu menjadikan positif COVID-19 negara semakin menghampiri 700,000 kes keseluruhan di mana jumlah kumulatif keseluruhan kes direkodkan sebanyak 691,115.
Menurut beliau, Selangor masih kekal penyumbang tertinggi kes jangkitan harian COVID-19 dengan 1,680 kes hari ini namun direkodkan susut mendadak berbanding semalam iaitu 2,111 kes.
“Negeri dan Wilayah Persekutuan yang turut mencatatkan penurunan adalah Negeri Sembilan (693), Kuala Lumpur (379), Perak (205), Kedah (170), Kelantan (167), Sabah (163), Labuan (156), Pulau Pinang (114), dan Terengganu (12).
“Manakala Sarawak (661), Johor (627), Melaka (183), Pahang (77), dan Putrajaya (4) merupakan kawasan yang meningkat kes manakala Perlis yang dilaporkan semalam sifar kes turut merekodkan pertambahan dua kes hari ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, menerusi hantaran berbeza, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) memaklumkan hampir 5.68 juta penduduk di negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Sehingga semalam, JKJAV menerusi Facebook miliknya memaklumkan seramai 4.09 juta (12.5 peratus) penduduk menerima dos pertama, manakala 1.59 juta melengkapkan dua dos pengambilan.
“Lima negeri mencatatkan suntikan tertinggi bagi dos pertama dan kedua adalah Kuala Lumpur dengan 838,482 penerima, Selangor (833,587) Sarawak (752,684), Johor (530,941) dan Sarawak (448,847 penerima).
“Semalam, sebanyak 164,282 orang di seluruh negara menerima suntikan vaksin, dengan 128,400 orang bagi dos pertama dan 35,882 orang bagi dos kedua,” katanya.
Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kerajaan mensasarkan lebih 200,000 orang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 sehari bermula Julai ini, dan ditingkatkan kepada lebih 300,000 orang sehari pada Ogos.
Di bawah PICK, pelaksanaan fasa pertama bagi pemberian vaksin adalah dari Februari hingga April lalu, membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya (OKU), manakala fasa ketiga bermula Mei lalu hingga Februari 2022, membabitkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.