21 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pemilik syarikat kejuruteraan marin malam tadi kerana disyaki terbabit dengan kes rasuah bagi tujuan mendapatkan projek sebuah agensi penguatkuasaan yang dianggarkan berjumlah RM10 juta.
Sumber berkata kesemua suspek terdiri daripada dua wanita dan dua lelaki berusia antara 40 hingga 71 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira, pada jam 9 hingga 10 malam, malam tadi.
Semua suspek ditahan kerana dipercayai memberi rasuah kepada pegawai sebuah agensi penguatkuasaan tersebut sebagai balasan membantu syarikat-syarikat terbabit mendapatkan kerja-kerja pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan berkaitan marin bermula 2018 hingga tahun ini.
Berikutan itu, kesemua suspek hari ini dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
“Dua daripada suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita telah direman selama empat hari bermula hari ini hingga 24 Jun manakala dua lagi direman dua hari sehingga esok.
“Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas menerima permohonan daripada pegawai penyiasat SPRM pagi ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber juga mengesahkan SPRM tidak menolak kemungkinan ada individu lain termasuk penjawat awam akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu melengkapkan kertas siasatan kes terbabit.