21 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu bertindak di atas nasihat Perdana Menteri dan Kabinet, kata bekas peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Beliau berkata, tindakan itu bertepatan dengan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan seperti dijelaskan dalam sumpah jawatan baginda.
“Tindakan itu amat bertetapan dengan prinsip Raja Berperlembagaan, malah semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu dan rakyat, perlu patuh serta menghormati perkara termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di dalam negara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penjelasan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz menolak gesaan beberapa ahli politik yang mahu kerajaan mengikut gesaan Raja Melayu supaya Parlimen bersidang semula secepat mungkin, selain menamatkan perintah darurat COVID-19.
Pandangan pakar undang-undang dan Perlembagaan itu mengulangi kenyataan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebelum ini yang mengatakan Yang di-Pertuan Agong tidak memiliki kuasa budi bicara, melainkan di dalam tiga perkara, iaitu pelantikan Perdana Menteri, pembubaran Parlimen dan penganjuran Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu seperti termaktub Menerusi Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 16 Jun lalu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya Parlimen bersidang secepat mungkin dan disambut ahli politik pembangkang yang meminta kerajaan melaksanakannya.
Mengulas lanjut, Mohamed Apandi berkata, Yang di-Pertuan Agong memiliki hak mendapatkan pandangan daripada pihak lain, termasuk ketua parti kerajaan dan pembangkang. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN