21 JUN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan kerjasama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) telah menggerakkan agensi di bawahnya untuk membantu masyarakat luar bandar bagi merancakkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menterinya, Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata, inisiatif ini dilaksanakan dengan teliti dan sebaiknya bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat dicapai dan sampai sehingga ke peringkat akar umbi.
Justeru, sebanyak 191 buah Pusat Komuniti Desa (PKD) telah diaktifkan sebagai Pusat Daftar Vaksin Luar Bandar bermula 20 Mei lalu bagi memastikan 7.6 juta masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.
“Walaupun kita akui kita ada juga menghadapi masalah namun kita miliki prasarana iaitu tempat untuk kita lakukan pendaftaran vaksin dan orang iaitu kita ada pemimpin dari Tok Batin mewakili Orang Asli dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Menerusi inisiatif pengaktifan PKD sebagai Pusat Daftar Vaksin Luar Bandar, Kementerian menyasarkan peningkatan sebanyak 20 hingga 30 peratus jumlah pendaftaran vaksin sedia ada, serta mempercepatkan lagi proses imunisasi COVID-19 terutama masyarakat luar bandar.
“Maka, pelaksanaan ini amat bagus kerana kita dapat mempercepatkan lagi proses imunisasi COVID-19 terutama masyarakat luar bandar dan setakat ini KPLB sudah mendaftarkan seramai 6,000 penerima vaksin dari kalangan penduduk desa dan Kampung sejak awal Mei lalu,” katanya pada satu panggilan video menerusi Rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Latiff memberitahu pihaknya yakin kerajaan mampu mencapai imuniti kelompok di negara ini menjelang bulan Oktober nanti berikutan bekalan vaksin akan sampai dengan lebih banyak.
Justeru itu, KPLB turut menyasarkan untuk lebih aktif dalam pendaftaran penduduk di luar bandar bagi memastikan imuniti itu dapat dicapai pada waktunya dan sebaiknya dapat diselesaikan lebih awal daripada yang disasarkan.
“Jika sasaran ini dicapai atau boleh berjaya dicapai pada bulan Ogos atau September, ini akan memberi kesan positif yang lebih awal kepada ekonomi akan bertambah baik dan orang ramai akan lebih yakin untuk berinteraksi sambil memastikan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dipatuhi.
“Kita memang susah nak kawal pergerakan orang dan kerana itu rantaian COVID-19 sukar untuk diputuskan namun dalam masa kita boleh kawal juga vaksin yang sedikit sebanyak akan mengurangkan jangkitan wabak itu.
” Justeru, saya yakin perancangan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dan KPLB boleh dan akan membantu bagi memastikan pelan imuniti kelompok dapat dicapai dengan lebih awal,” katanya.
Sementara itu, Abdul. Latiff memaklumkan KPLB akan terus memainkan peranannya merancang dan melaksanakan pembangunan bersepadu melalui pelbagai program komprehensif serta mampu meningkat tahap kualiti dan kesejahteraan masyarakat luar bandar dan juga usahawan yang terjejas.
“Selain proses vaksinasi, kita juga membantu peniaga-peniaga yang terjejas pendapatan akibat kesan pandemik COVID-19 dengan memberikan mereka moratorium bangunan sewaan mereka yang dapat meringankan beban mereka.
“Kita juga memberikan bantuan seperti pusingan modal kepada peniaga yang terjejas dan saya telah arahkan semua agensi di bawah KPLB tidak kedekut duit dan gunakan peruntukan yang ada dengan sebaiknya untuk membantu rakyat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH