21 JUN: MIC tidak akan menetapkan sebarang tempoh kepada kerajaan Persekutuan untuk menentukan tarikh persidangan Parlimen sepertimana dilakukan oleh UMNO.
Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan bagi memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sepertimana yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu berdasarkan situasi munasabah.
Justeru, beliau menegaskan ketetapan tempoh 14 hari untuk kerajaan memanggil sidang Parlimen juga adalah keputusan UMNO dan bukannya mewakili keputusan Barisan Nasional (BN).
“Keputusan ‘bayi’ tempoh 14 hari itu adalah keputusan UMNO bukan BN, jadi terpulanglah kepada pihak UMNO. Kita MIC tidak beri tempoh.
“Sekarang kita menjunjung titah Seri Paduka Baginda mengatakan kerajaan perlu memanggil Parlimen secepat mungkin berdasarkan kepada situasi yang munasabah, maka terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan dalam masa terdekat,” katanya kepada media, hari ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata, bagi pihaknya partinya telah membuat ketetapan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bahawa darurat akan berakhir pada 1 Ogos 2021.
“Kita mengharapkan agar kerajaan melaksanakan persidangan Parlimen mengikut perlembagaan dan undang-undang sedia ada. Jadi, semua proses harus dilaksanakan berlandaskan undang-undang.
“Proses pemangilan persidangan Parlimen perlukan notis (28 hari) kepada semua Ahli Parlimen untuk menghantar soalan, dan seterusnya kementerian berkaitan menyediakan jawapan, selain sesi soal jawab dan waktu pertanyaan menteri semasa berlangsungnya sesi Parlimen,” katanya.
Hari ini, UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kegagalan Kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.