21 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Sarawak, Sabah, Melaka dan Perak selama 14 hari mulai Rabu ini hingga 6 Julai depan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan terpaksa melaksanakan PKPD di semua lokaliti berkenaan berikutan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan terdapat peningkatan kes COVID-19 mendadak di kawasan terbabit.
Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD itu perlu bagi membolehkan KKM mengawal jangkitan wabak COVID-19 dalam kalangan penduduk setempat, selain mencegah penyebaran wabak maut terbabit ke kawasan lain.
Beliau berkata di Sarawak PKPD membabitkan dua lokaliti dalam Bahagian Mukah, iaitu Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau, Sungai Lepah, Tanjung Manis dan Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, Jalan Sibu-Mukah.
“Sehingga kini, sebanyak 49 kes telah direkodkan hasil daripada 117 ujian saringan di Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau manakala di Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, sebanyak 25 ujian saringan telah
dilakukan dan 15 daripadanya positif.
“Manakala Sabah, PKPD membabitkan dua lokaliti di Tawau, iatu Blok 11 Kampung Titingan selepas 13 dikesan positif dan Batu 7, Jalan Tinagat apabila 12 daripada 15 individu disaring positif.
“PKPD juga akan dilaksanakan di Kampung Ejuk, Kota Belud, apabila lapan dikesan positif setakat ini, Kampung Warisan, Kota Kinabalu, pula dikenakan PKPD selepas 13 individu dikesan positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Dalam pada itu Ismail Sabri berkata kerajaan juga terpaksa melaksanakan PKPD di Penjara Sungai Udang Melaka Tengah, Melaka selepas KKM telah melakukan 262 ujian saringan dan 157 daripadanya dilaporkan positif COVID-19, setakat hari ini.
“Kerajaan juga akan menguatkuasakan PKPD di Kilang Sawit Cahaya Muda termasuk kuarters pekerja, di Batang Padang selepas KKM mendapati 97 daripada 281 individu disaringan dilaporkan positif,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri mengesahkan polis menahan 825 individu di seluruh negara, semalam, kerana kesalahan ingkar SOP termasuk 810 individu dikompaun manakala 15 lagi direman.