21 JUN: Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berdepan masalah untuk mendaftar proses vaksinasi, dinasihatkan supaya segera menghubungi persatuan veteran masing-masing bagi mendapatkan bantuan.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata setiap persatuan terbabit sememangnya memiliki kumpulan aplikasi perbualan untuk mengumumkan sebarang perkembangan semasa, termasuk membabitkan proses vaksinasi negara.
“Kita (pesara polis) ada banyak persatuan, termasuk persatuan veteran polis dan persatuan bekas polis, jadi mana-mana pesara yang berdepan masalah mendaftar atau belum menerima status imunisasi terbabit perlu hubungi persatuan ini untuk membantu mereka.
“Sekarang ini setiap veteran polis ini ada ‘chat group’ (kumpulan perbualan), jadi siapa pesara perkhidmatan ini yang menyertainya akan maklum berhubung proses vaksinasi.
“Saya risau mereka yang tidak mengetahui cara mendaftar atau berdepan masalah untuk berbuat demikian masih belum menjadi ahli sebab jika ahli, mereka akan tahu,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC, hari ini.
Musa berkata, persatuan berkaitan juga mungkin perlu mengambil inisiatif tambahan bagi memastikan tidak ada golongan itu yang ‘terpinggir’ dalam mendapatkan suntikan COVID-19.
“Persatuan wajar mencari kaedah tambahan untuk memberi pendedahan kepada veteran dan pesara ini berhubung proses vaksinasi bagi meningkatkan kefahaman mereka,” katanya.
Portal ini semalam, melaporkan seorang penerima Pingat Gagah Berani (PGB) dan bekas anggota 69 Komando (VAT 69) PDRM, Apot A/K Saad, 72, dan isteri, Krig A/P Sudin, 71, meluahkan harapan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 secepat mungkin, biarpun belum mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera.
Wira negara itu yang terkenal dalam kalangan pasukan polis dan tentera kerana banyak berjasa ketika zaman menentang komunis, berkata biarpun berada di dalam kategori warga emas, beliau serta isterinya belum berdaftar kerana tidak tahu bagaimana mahu berbuat demikian.
Mengulas mengenai Apot dan bagaimana beliau boleh dibantu, Musa berkata, pesara itu harus menghubungi atau bertemu dengan persatuan.
“Saya kenal Apot sebab saya berikannya anugerah dahulu, jadi saya minta beliau berhubung dengan persatuan veteran,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN