21 JUN: Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan mengumumkan kemenangannya dalam pilihan raya parlimen awal pagi ini.
Pilihan raya itu diadakan dalam usaha untuk meredakan krisis politik selepas perang yang dahsyat antara Armenia dengan Azerbaijan.
Parti Kontrak Sivil pimpinan Pashinyan mendahului dengan 58 peratus undi, jauh di hadapan gabungan bekas presiden, Robert Kocharyan dengan 18.8 peratus undi.
Keputusan rasmi berdasarkan undian dari 47 peratus kawasan yang dihitung menunjukkan satu pihak memperoleh lebih daripada 5 peratus undi.
“Rakyat Armenia memberi mandat kepada parti Kontrak Sivil untuk memimpin negara dan secara peribadi saya memimpin negara ini sebagai perdana menteri,” Pashinyan mengumumkan pada awal pagi ini.
“Kami memperoleh kemenangan yang meyakinkan dalam pilihan raya ini dan akan mendapat majoriti yang meyakinkan di parlimen,” katanya yang menyeru penyokong berkumpul di dataran utama Yerevan malam ini.
Walaupun cuaca panas, hampir 50 peratus daripada kira-kira 2.6 juta pemilih yang memenuhi syarat telah keluar mengundi, kata pegawai pilihan raya.
Sebahagian pemerhati menyatakan, kehadiran pengundi di negara Kaukasus Selatan yang berjumlah tiga juta orang itu lebih tinggi daripada yang dijangkakan.
Semasa kempen yang dicemari oleh retorik polarisasi, Pashinyan menyatakan beliau menjangkakan parti Kontrak Sivilnya memperoleh 60 peratus undi.