21 JUN: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melanjutkan tarikh tutup permohonan sistem UPUOnline bagi kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi akademik 2021/2022 sehingga 2 Julai ini pada jam 5petang.
Menurut kenyataan KPT, pelanjutan itu membabitkan pelajar lepasan SPM ke program Sijil, Asasi dan Diploma ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
“Keputusan ini akan membolehkan pelajar mengemas kini permohonan dan memilih program pengajian di UPUOnline.
“KPT juga prihatin dengan kekangan masa dihadapi pemohon berikutan terdapat pelajar yang masih belum menerima keputusan semakan semula peperiksaan SPM 2020 daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM),” menurut kenyataan itu, hari ini.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, katanya, lepasan SPM sesi akademik 2021/2022 dan pemohon boleh melayari portal rasmi KPT di upu.mohe.gov.my.
“KPT berharap keputusan ini akan dapat memudahkan urusan pemohonan untuk melanjutkan pengajian masing-masing,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN