21 JUN: Jawatankuasa Akses Jaminan Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan menentukan kaedah penggunaan vaksin Pfizer untuk golongan remaja berusia 12 tahun ke atas, pada minggu ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu akan dibuat pada mesyuarat JKJAV yang dipengerusikan secara bersama oleh beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
“JKJAV akan memutuskan kaedah penggunaan vaksin Pfizer untuk golongan remaja berdasarkan nasihat dan syor yang akan dibuat Jawatankuasa Kumpulan Kerja Pakar.
“Segala maklumat lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media mingguan CITF secara maya hari ini.
Dalam sidang media berasingan, Khairy berkata kerajaan sedia mempertimbangkan pemberian vaksin CanSino untuk golongan pelarian yang berada di negara ini.
Khairy, berkata keputusan penggunaan vaksin itu bagi memudahkan dan mempercepat program imunisasi di negara ini.
Beliau berkata, langkah berkenaan dibuat berikutan kesukaran untuk mengenal pasti jumlah sebenar pelarian di negara ini.
“Vaksin CanSino yang akan diperoleh Julai nanti, hanya memerlukan satu dos. Jadi kita akan bagi mereka (pelarian) vaksin berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil yang baru dibuka hari ini dengan kapasiti maksimum 10,000 penerima dalam satu-satu masa.
Selain itu, Khairy berkata, beliau sudah mengarahkan supaya semua penduduk di pedalaman atau individu yang tidak mempunyai dokumen lengkap terutama di Sabah dan Sarawak diberikan vaksin terlebih dahulu.
“Jika tiada dokumen tidak mengapa. Kita akan suruh mereka tuliskan dahulu segala butiran peribadi.
“Soal ketiadaan dokumen kita akan selesaikan kemudian, jadi kita catat dan rekod data mereka,” katanya.