21 JUN : Rejim Zionis kembali menyerang penduduk di kawasan Sheikh Jarrah walaupun keputusan genjatan senjata telah dimuktamadkan pada Mei lalu.
Penduduk di kawasan tersebut memberitahu, rejim Zionis melarang penduduk daripada memasuki kediaman menggunakan belantan.
Mereka juga didakwa menggunakan kekerasan untuk menyuraikan wartawan dan penduduk Palestin yang berada di kawasan itu bagi menyokong keluarga yang diancam pengusiran.
Selain itu, rejim Zionis turut didakwa menyerbu sebuah rumah di kejiranan sama dan menyerang penduduknya.
Pada Sabtu lalu, pihak berkuasa rejim Zionis telah melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk dan mereka yang sama-sama dalam solidariti untuk mempertahankan kejiranan berkenaan.
Ketegangan meningkat di seluruh wilayah Palestin sejak April lalu selepas keputusan mahkamah Israel untuk mengusir keluarga Palestin daripada kediaman mereka di Sheikh Jarrah, sebagai memihak kepada peneroka Yahudi.
Situasi itu semakin meledak apabila rejim Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menyerang penganut Islam, hingga membawa kepada serangan udara di Semenanjung Gaza yang membunuh sekurang-kurangnya 290 penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.
Serangan juga menyebabkan pelbagai kemusnahan, termasuk pusat kesihatan, sekolah dan pejabat media.