22 JUN: Meskipun suntikan COVID-19 diberikan secara percuma kepada semua pekerja industri di Sarawak, terdapat beberapa syarikat dikesan mengenakan bayaran kepada golongan itu.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata terdapat iklan dibuat beberapa syarikat menyatakan mana-mana pekerjanya yang mahu mendapatkan imunisasi di pusat pemberian vaksin (PPV) di premis mereka, perlu membayar sejumlah kos.
“Saya ingin menjelaskan bahawa vaksin disediakan kerajaan secara percuma di kesemua PPV untuk industri.
“Majikan perlu menanggung kos untuk membuka PPV ini dan kos perkhidmatan dikenakan pasukan yang mengendalikan vaksinasi terbabit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Selain itu, Amar Douglas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak berkata, PPV untuk pekerja industri adalah perlu bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada golongan terbabit kerana terdapat banyak laporan kes positif COVID-19 yang membabitkan tempat kerja.
Katanya, sehingga kini maklum balas rakyat Sarawak terhadap program vaksinasi amat menggalakkan apabila sejumlah 855,749 orang sudah divaksin.