Ambil vaksin atau masuk penjara – Duterte
22 JUN: Filipina mengambil langkah drastik dengan mengenakan hukuman penjara bagi mereka yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.
Amaran itu dibuat oleh Presidennya, Rodrigo Duterte ekoran Filipina merekodkan sebanyak 1.3 juta kes jangkitan dan lebih 23,000 kematian.
“Anda pilih, ambil vaksin atau saya akan penjarakan anda,” kata Duterte dalam siaran langsung di televisyen mengenai program vaksinasi yang perlahan di negara ini.
Sebelum ini, pegawai kesihatan Filipina menyatakan pengambilan vaksin di negara ini adalah secara sukarela, namun ia mendapat sambutan dingin daripada orang ramai.
“Jangan salah faham, ini adalah krisis negara. Saya geram dengan mereka yang tidak mengendahkan seruan kerajaan,” jelas Duterte.
Sehingga 20 Jun, pihak berkuasa Filipina sudah memberi vaksin kepada 2.1 juta penduduk, namun sasaran itu masih jauh memandangkan jumlah populasi di negara ini adalah seramai 110 juta orang.
Filipina menyasarkan memberi vaksin lengkap kepada 70 juta penduduk dalam tahun ini.
Sementara itu, Duterte tetap dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan sekolah dibuka sebagai usaha berterusan mengekang penularan COVID-19.