22 JUN: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun atau bayaran sagu hati kepada lebih 19,000 sukarelawan yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah (PKRC) di seluruh negara daripada RM50 kepada RM100 sehari mulai bulan ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kenaikan elaun atau bayaran saguhati berkenaan dijangka memberikan implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan sebanyak RM180 juta.
Berikutan itu Muhyiddin berkata semua PPV di seluruh negara akan beroperasi tujuh hari seminggu berbanding di sesetengah lokasi hanya lima hari sahaja buat masa ini.
Beliau berkata keputusan berkenaan selaras dengan usaha kerajaan untuk mempercepat kadar vaksinasi di seluruh negara sekali gus memenuhi aspirasi Pelan Pemulihan Negara.
“Kerajaan memutuskan bahawa pusat-pusat pemberian vaksin beroperasi tujuh hari seminggu dengan masa operasi dilanjutkan.
“Justeru, saya mengarahkan Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula kadar bayaran kepada sukarelawan supaya dapat ditambah jumlahnya dan bilangan penerima diperluas secepat mungkin.
“Syukur Alhamdulillah, hari ini saya ingin mengumumkan kerajaan bersetuju supaya bayaran saguhati kepada sukarelawan kesihatan ditingkatkan daripada RM50 kepada kadar RM100 sehari bagi sukarelawan yang bertugas melebihi 12 jam bermula bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPV Dewan Muafakat Johor Bukit Gambir di sini, hari ini.
Sebelum ini kerajaan memperuntukan RM147 juta sebagai saguhati kepada sukarelawan berkenaan yang bertugas di lapangan dengan jumlah keseluruhan kini sebanyak RM327 juta.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri, berkata kenaikan kadar saguhati kepada sukarelawan itu adalah pengiktirafan kepada jasa dan sumbangan mereka yang bertungkus-lumus berusaha memastikan rakyat Malaysia dapat menerima suntikan vaksin dengan teratur, cepat dan selamat.
Muhyiddin berkata kenaikan berkenaan membuktikan keseriusan kerajaan dalam meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara yang terus menerus menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari hari ke hari.
“Kita perlu sentiasa ingat, lebih ramai rakyat Malaysia yang divaksinasi, lebih ramai yang dilindungi daripada jangkitan Covid-19, apatah lagi pada Julai dan Ogos ini bekalan vaksin dijadualkan diterima kita sekitar 16 juta dos seperti diumumkan sebelum ini.
“Maka, aspirasi kita untuk menaikkan jumlah penerima vaksin daripada hampir 250,000 sehari kepada 400,000 sehari berdasarkan penyampaian vaksin yang kita sudah tempah mungkin boleh dicapai,” katanya.