22 JUN: Penakluk puncak gunung tertinggi Eropah iaitu Gunung Elbrus, Rusia, setinggi 5,642 meter, Sara Sofea Muhammah Illaham, 18, mencatat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, (SPM) baru-baru ini.
Sebelum ini, pada 15 Ogos 2019, pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor itu berjaya menawan puncak gunung berkenaan di bawah Program Pendakian Belia Merdeka 2020, anjuran Kelab Jelajah Alpine Malaysia, (KJA).
Sara Sofea berkata, kejayaan tersebut atas dorongan dan sokongan tidak berbelah bahagi ibu bapanya terhadap segala aktiviti yang dilakukannya.
“Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah kerana saya berjaya mencapai sasaran saya untuk mendapat keputusan 9A dalam SPM baru-baru ini.
“Terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa di belakang saya memberi sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, sukan mendaki gunung yang ceburinya telah banyak memberi inspirasi kepada dirinya untuk berjaya di dalam akademik.
Ini kerana katanya, kepayahan dan keperitan ketika mendaki gunung telah mengajarnya erti semangat perjuangan dan tidak putus asa dalam apa sahaja yang dilakukan.
“Situasi ketika mendaki gunung yang mencabar itu telah mengajar saya supaya kuat dari segi mental dan fizikal. Semangat itulah yang telah saya gunakan di dalam bidang akademik sehingga berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam SPM baru-baru ini,” ujarnya.
Gadis manis itu berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran, namun akan tetap meneruskan minatnya dalam aktiviti mendaki gunung.
Menurutnya, ayahnya yang merupakan pendaki Everest banyak membimbingnya dalam aktiviti mendaki gunung.
“Minat saya dalam sukan mendaki ini akan saya teruskan dan saya merancang menawan puncak tertinggi di Amerika Selatan iaitu Gunung Aconcagua, Argentina dan Gunung Vinson Massif di benua Antartika.
Sementara itu, Timbalan Presiden KJA, Zainuddin Lot berkata, pihaknya akan berusaha mencari penaja untuk menyokong impian Sara Sofea untuk menawan dua puncak tertinggi di benua Amerika Selatan dan Antartika itu.
Atas kecemerlangan akademik dan ko-kurikulumnya itu, KJA telah menyampaikan sumbangan RM2,000 sebagai insentif dan penghargaan kepada Sara Sofea baru-baru ini.
Majlis penyerahan sumbangan itu dilakukan secara dalam talian oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Yang Farina Abdul Aziz yang juga penggiat sukan mendaki gunung.