22 JUN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar memberi jaminan beliau tidak akan menyokong usul undi tidak percaya sekiranya perkara tersebut dibangkitkan dalam persidangan Parlimen akan datang.
Beliau bagaimanapun menyokong kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan mesyuarat Biro Politik parti itu Ahad lalu supaya Parlimen kembali bersidang dalam tempoh 14 hari bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat.
Menurut beliau, ini perlu agar semua ahli Parlimen bersama dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.
“Saya ulangi sekali lagi sebagai Ahli Parlimen tunggal Barisan Nasional (BN) dari Selangor, saya tidak akan bersetuju jika ada usul undi tidak percaya dikemukakan semasa Parlimen ini bersidang,” tegasnya menerusi satu kenyataan, lewat malam tadi.
Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan Presiden UMNO memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen bukan keputusan muktamad kerana perkara itu belum diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.
Beliau menjelaskan tempoh 14 hari yang diumumkan Ahmad Zahid kepada kerajaan untuk memulakan sidang Parlimen adalah cadangan daripada Biro Politik dan bukannya keputusan dibuat mesyuarat MKT.
Ismail Sabri berkata, hingga kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bertanggungjawab membuat sebarang keputusan belum membincangkan lagi perkara itu termasuk tindakan yang diambil parti jika Parlimen tidak dibuka dalam tempoh berkenaan.
Semalam, Ahmad Zahid berpendirian tegas mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari bermula semalam.
Beliau berkata, kegagalan Kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH