22 JUN: Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia sudah membuat satu laporan polis berhubung video tular memaparkan lelaki memberikan minuman keras kepada seorang bayi.
Ketuanya, David Marshel berkata laporan itu dibuat selepas pihaknya menonton kiriman video terbabit supaya pihak polis menjalankan siasatan terhadap pelaku dan mengambil tindakan sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang.
“Perbuatan terkutuk ini harus dihentikan dan bayi terbabit perlu dijauhkan daripada lelaki tidak bertanggungjawab berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
David berkata, pihaknya turut meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) supaya mengambil tindakan segera bagi melakukan pemeriksaan terhadap bayi itu.
“Ujian darah perlu dibuat ke atas bayi itu bagi memastikan dia tidak terdedah dengan kandungan alkohol,” katanya.
Menerusi rakaman video berdurasi 30 saat itu, kelihatan lelaki berkenaan memangku seorang bayi dan memberikannya arak seperti jenama tertera pada tin minuman keras terbabit.
Kejadian didakwa berlaku di sebuah flat di Teluk Bahang, Balik Pulau, Pulau Pinang itu mencetuskan kemarahan orang ramai.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata pihaknya sudahpun menerima laporan berhubung perkara tersebut dan siasatan sedang dijalankan berhubung video tersebut.
“Kita sudah terima laporan berhubung kejadian itu. Siasatan sedang dijalankan termasuk mengesan suspek terbabit,” katanya.