22 JUN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pihak berkuasa mengesan taktik baharu digunakan sindiket penyeludupan pelarian etnik Rohingya ke Malaysia melalui perairan negara.
Katanya, berbeza dengan penggunaan bot besar seperti sebelumnya, kini sindiket menempatkan pelarian di Indonesia terlebih dahulu dan kemudian cuba membawa mereka ke Malaysia menggunakan bot kecil.
“Mereka ada strategi lain, dulu dia datang masuk dengan bot yang besar-besar, last year (tahun lalu), mereka datang kita usir mereka, tetapi kali ini mereka datang dengan cara lain.
“Dia (pelarian) duduk (di Indonesia) sekejap, tengok bila dia (sindiket) rasa (kawalan) kita longgar sikit, dia masuk menggunakan bot-bot.
“Jadi dia tak bawa masuk ramai-ramai, itulah cara mereka masuk sekarang ini dan yang kita hairan, bila sampai masuk dah ada orang tunggu di dalam negara kita, itu bermakna sudah ada sindiket yang sudahpun bekerjasama dengan mereka” katanya pada sidang media selepas meninjau dan memantau beberapa lokasi sekitar Pulau Langkawi, Kedah, hari ini.
Hamzah berkata, sindiket terbabit ketika ini dipercayai sedang menunggu masa sesuai bagi membawa kumpulan pelarian Rohingya yang sudah menunggu di Indonesia ke Malaysia.
“Kita tahu dia punya taktik, mereka kini berada di Indonesia, kita tahun ada kumpulan sedang menunggu untuk masuk ke negara kita, tapi dalam masa sama kita juga sedang bersedia dengan semua agensi kita, mula-mula kita ada Agensi Penguatkusaaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin dan National Task Force (NTF) untuk membantu supaya mereka tidak boleh masuk,” katanya.
Sementara itu, Hamzah berkata, dasar penempatan di Bukit Malut di Langkawi yang dikaitkan dengan majoriti penduduknya pendatang dari Myanmar akan diteliti semula.
Jelasnya, satu perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara itu sudah diadakan bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai dasar penempatan sedia ada.
Beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan MKN berhubung polisi penempatan kerana di zaman pemerintahan kerajaan sebelum ini, iaitu sejak Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan kerajaan bertukar, polisi berbeza.
“Jadi, kita perlu mengeluarkan satu polisi sebenar untuk memastikan selepas ini tidak ada lagi bertukar-tukar polisi,” katanya.
Pada Mac lalu, Kerajaan Kedah menggesa MKN segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu penempatan di Bukit Malut, Langkawi yang majoritinya dikaitkan dengan pendatang dari Myanmar.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini, memaklumkan isu itu semakin ‘parah’ berikutan bilangan rumah dibina di kawasan itu bertambah.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi menyediakan pelekat tertera maklumat mengenai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) di seluruh negara.
“Pelekat ini akan ditampal pada bot nelayan untuk mereka mengetahui semua nombor telefon MARITIM sekiranya mereka berada di tengah laut, selain boleh menghubungi agensi itu jika ada masalah atau kecemasan.