23 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 754 individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu 701 individu dikompaun manakala 53 lagi direman dengan antara kesalahan dilakukan mereka ialah gagal merekodkan butiran diri/daftar masuk premis (144); rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan dalam premis (141) dan tidak memakai pelitup muka (135).
“Seramai 92 individu lain pula ditahan kerana melakukan kesalahan tiada penjarakan fizikal, membawa penumpang berlebihan (84), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (78), premis gagal patuhi arahan (11) dan lain-lain (69),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu Ismail Sabri juga mengesahkan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pulau Tukang Dolah, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan dan dua lokaliti di Sabah iaitu Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud serta Kampung Kukut, Beaufort, Sabah, berkuatkuasa mulai 25 Jun hingga 8 Julai 2021.
Beliau berkata kerajaan terpaksa berbuat demikian berikutan laporan Kementerian Kesihatan menunjukkan terdapat peningkatan kes COVID-19 mendadak di kawasan terbabit.
Katanya, pelaksanaan PKPD dapat membantu KKM mengesan kontak rapat dan mengawal penularan wabak COVID-19 daripada terus merebak ke luar daripada kawasan kampung terbabit.
“Kerajaan terpaksa melaksanakan PKDP Kampung Pulau Tukang Dolah selepas KKM mendapati 41 daripada 63 penduduknya yang menjalani ujian saringan didapati positif COVID-19.
“KKM juga mendapati kes meningkat dengan cepat dan kadar kebolehjangkitannya tinggi. Berikutan itu, selepas penilaian risiko dilakukan oleh Jawatankuasa PKP dan nasihat KKM maka kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di Kampung Pulau Tukang Dolah, mulai 25 Jun hingga 8 Julai 2021,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga mengesahkan bahawa kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah sehingga 7 Jula depan dan Lima Sub-Zon di Labuan sehingga 28 Jun ini berikutan masih terdapat penularan kes COVID-19 di kawasan terbabit.