23 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet para negara, Bonnie Bunyau Gustin atas pencapaian cemerlangnya memecahkan rekod dunia dalam acara angkat berat.
Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi Istana Negara hari ini turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan atlet berusia 22 tahun itu yang melakar sejarah baharu buat sukan angkat berat negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Pada Kejohanan Angkat Berat Piala Dunia Fazza Dubai ke-11 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu kelmarin, atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu memecahkan rekod dunia dengan angkatan seberat 230 kilogram (kg) dalam Kategori Lelaki atas 72kg untuk merangkul pingat emas, menewaskan atlet China, Peng Yu (214 kg) dan atlet Nigeria, Nnamdi Innocent (213kg).
Menerusi catatan tersebut, kejayaan Bonnie memecahkan rekod yang selama ini dipegang oleh atlet Iran, Roohallah Rostami, amat bermakna buat Malaysia dan menjadi suntikan semangat kepada atlet tersebut untuk meneruskan buruan pingat pada kejohanan akan datang.
“Pencapaian cemerlangnya sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
“Kejayaan itu juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” kata hantaran Istana Negara.
Sementara itu, menurut hantaran itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.
“Seri Paduka menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan-kejohanan mendatang.
“Syabas dan tahniah,” menurut catatan itu lagi. –