23 JUN: Kes baharu COVID-19 di seluruh negara mencatatkan peningkatan sejak kelmarin apabila merekodkan sebanyak 5,244 kes hari ini, berbanding 4,743 kes semalam dan 4,611 kes pada Isnin.
Angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 711,006, setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor turut menunjukkan peningkatan dalam tempoh sama dengan sebanyak 2001 kes baharu, malah kembali melebihi 2,000 kes selepas tiga hari berada di bawah angka itu.
“Sembilan negeri menunjukkan pertambahan kes hari ini, iaitu Negeri Sembilan dengan sebanyak 677 kes, diikuti Sarawak (577), Johor (282), Pahang (245), Kedah (189), Melaka (180), Perak (75) dan Putrajaya (13).
“Negeri menunjukkan penurunan kes adalah Kuala Lumpur dengan sebanyak 531 kes hari ini, disusuli Pulau Pinang (159), Sabah (129), Labuan (77), Kelantan (81) danTerengganu (27), manakala Perlis adalah negeri tunggal merekodkan kes satu angka, iaitu satu kes,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN