23 JUN: Ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN bersetuju supaya Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka memang menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang telah diadakan pada 16 Jun 2021.
“Selaras dengan itu, Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN bersetuju agar Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan.
“Kami amat mengharapkan sidang Parlimen ini akan dapat memberi tumpuan kepada isu-isu yang dihadapi rakyat dalam mendepani pandemik COVID-19.
“Oleh yang demikian dan bagi menjunjung titah Tuanku supaya suhu politik dapat diredakan maka kami setuju untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh Kerajaan sebagai suatu usaha dalam memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 dalam negara.
Beliau berkata Menteri serta Timbalan Menteri daripada parti UMNO/BN akan memastikan komitmen sepenuhnya dalam melaksanakan tugas dan peranan masing-masing terutamanya melibatkan tugas dan portfolio yang berkait secara langsung dalam mengekang penularan COVID-19, pelaksanaan vaksinasi serta pemulihan ekonomi rakyat dan negara.
“Apa yang pasti keutamaan Ahli-ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN adalah demi kelangsungan hidup rakyat dengan fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan di samping masa hadapan negara Malaysia,” katanya.