23 JUN: Semua pihak diingatkan supaya tidak menjadikan isu pendidikan negara sebagai bahan berpolitik demi untuk kepentingan peribadi.
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir turut kesal dengan pihak yang sengaja mempolitikkan isu pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan guru.
Menurut beliau, keputusan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengenai pengambilan khas ini bertujuan bagi membuka jalan terhadap isu kekurangan guru yang serius, terutamanya di beberapa buah negeri seperti di Sabah, Sarawak, Selangor dan Johor.
“Saya menyeru Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas dan tidak mengehadkan pandangan beliau terhadap politik sempit semata-mata.
“Insya-Allah, apa yang dilakukan hari ini dapat menjamin masa depan anak-anak pewaris negara kita,” katanya menerusi kenyataan di Facebook milik ARMADA, hari ini.
Terdahulu, KPM mengumumkan akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi 18,702 kekosongan guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.
Berikutan itu, Radzi berkata, KPM akan menyiarkan iklan pengambilan guru berkenaan pada 7 Julai ini manakala penempatan secara berperingkat-peringkat bermula pada Oktober nanti.
Dalam pada itu, Mohd Ashraf menegaskan pengambilan graduan pendidikan pada tahun mendatang akan tetap diteruskan kerana pengambilan khas itu bertujuan untuk mengisi jawatan sedia ada yang sepatutnya diisi sejak dulu lagi.
“Bagi persoalan keperluan untuk membuka pengambilan khas situ kepada graduan bidang lain, dalam sidang media, Radzi sebelum ini sudah dinyatakan dengan jelas pengambilan khas ini akan tetap memberi keutamaan kepada graduan pendidikan,”katanya.
Namun dalam masa sama, beliau menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) akan bekerjasama mewujudkan kluster opsyen dan akan memberi peluang luas kepada graduan pendidikan.
“Pengambilan graduan bukan daripada bidang pendidikan pula akan dipertimbangkan jika calon berjaya dalam kalangan graduan pendidikan masih tidak mencukupi disebabkan ketidakpadanan opsyen. Jadi tidak timbul isu graduan pendidikan disisihkan daripada pengambilan khas ini.
“Bagi persoalan sama ada keputusan KPM dibuat atas sebab populis, beliau berkata, isu kekurangan guru tersebut adalah hasil daripada keputusan kerajaan sekitar 2016 berikutan kerajaan ketika itu mengurangkan pengambilan guru bagi Institut Pendidikan Guru (IPG), ” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH