23 JUN: Langkah Kementerian Pendidikan (KPM) membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bertepatan dengan keperluan semasa.
Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Zawawi Ismail berkata, ia bagi memastikan tenaga ikhtisas perguruan seperti graduan dilatih tetapi belum dilantik dapat diberikan ruang memberikan khidmat mereka sebagai guru.
“Ia juga dapat memastikan masa depan generasi mendatang terjamin, sekali gus KPM mampu merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
“Bagaimanapun, ia perlu dilakukan secara teratur dan berhati-hati bagi memastikan kualiti bakal guru terjamin dengan memberikan fokus kepada calon guru yang berkelayakan dari aspek akademik, penampilan dan sikap serta memiliki jiwa seorang guru,” katanya menerusi kenyataan, hari ini
Ahad lalu, KPM mengumumkan akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi 18,702 kekosongan guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.
Selain itu, KPM akan menyiarkan iklan pengambilan guru berkenaan pada 7 Julai ini manakala penempatan secara berperingkat-peringkat bermula pada Oktober nanti.
Dalam pada itu, Zawawi memaklumkan kerjasama erat di antara KPM dan universiti awam (UA) sedia terjalin dalam program latihan guru serta penyelidikan pendidikan masa depan wajar diperkukuhkan supaya perancangan lebih menyeluruh dapat dirangka dan direalisasikan.
“Ia bagi memastikan program latihan guru dijalankan UA dan institusi pendidikan guru (IPG) lain selari dengan keperluan dan cabaran masa depan pendidikan negara,” katanya.
Tambahnya, kerjasama antara KPM dan UA juga perlu membabitkan perkongsian pintar membabitkan data, unjuran, perancangan, inovasi, penyelarasan, penyelidikan serta permuafakatan berterusan dalam pelbagai aspek.
“Ini bagi membolehkan semua institusi yang terbabit secara langsung atau tidak, dapat menyumbang dalam pembangunan pendidikan di negara ini.
“Kejayaan masa depan pendidikan negara memerlukan penggemblengan tenaga serta kepakaran dan kolaborasi semua pihak,” katanya.