23 JUN: Berkuat kuasa serta merta sektor kredit komuniti (KK) atau pemberi pinjam wang (PPW) yang berdaftar bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dibenarkan beroperasi.
Menurut kenyataan KPKT, keputusan berkenaan dicapai dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Jun lalu.
KPT berkata, KK adalah sektor yang ke-13 disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu bawah Kluster Kerajaan Tempatan dalam sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0).
“Syarikat KK atau PPW perlu membuat permohonan baharu bermula hari ini bagi kebenaran operasi menerusi www.miti.gov.my dengan mengakses Portal CIMS 3.0.
“Syarikat hanya dibenarkan beroperasi selepas mendapat kelulusan daripada sistem CIMS. Bagi syarikat KK atau PPW di Sabah, Sarawak serta Labuan, kebenaran beroperasi perlu dirujuk kepada Kementerian Kewangan Negeri Sabah (KKNS), Jabatan Kerajaan Negeri Sarawak (JKNS) atau Perbadanan Labuan (PL),” kata KPT dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai kementerian yang mengawal selia aktiviti KK, KPKT juga mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19 di premis terbabit.
“Waktu operasi serta bertemu pelanggan dihadkan dari jam 9 pagi hingga jam 5 petang; hanya dua pelanggan dibenarkan berada di dalam premis pada satu-satu masa dan digalakkan melakukan janji temu serta kapasiti pekerja terhad kepada 60 peratus termasuk operasi dan pengurusan.
“Premis berkenaan juga diwajibkan menyediakan kemudahan imbasan kod QR MySejahtera serta buku pendaftaran kehadiran pelanggan; memastikan pelanggan yang memasuki premis melakukan imbasan suhu badan serta menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum memasuki premis.
“Bagi individu yang mempunyai suhu melebihi 37.5 Celsius atau bergejala, mereka dilarang memasuki premis dan pemilik KK atau PPW perlu memaklumkan segera kepada KPKT atau rujuk kepada SOP MKN dan KKM sekiranya terdapat kakitangan atau pelanggannya yang disahkan positif COVID-19,” katanya.
Maklumat lanjut, hubungi pegawai di Bahagian Kawalan Kredit Komuniti KPKT di talian 03-88914695/4661/4659/4652/4721 bagi urusan pelesenan manakala aduan, 03-88914690/4668/4658/4708.