24 JUN: Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Hishammuddin Hussein akan membuat laporan polis berhubung penularan satu gambar surat sokongan mengatakan Ahli Parlimen Sembrong berkenaan mendapat sokongan sebulat suara Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk menjadi Perdana Menteri.
Hishammuddin yang juga Menteri Luar berkata laporan berkenaan dibuat bagi membolehkan siasatan segera dilakukan bagi mengenal pasti dalang di sebalik penyebaran surat sokongan palsu berkenaan.
“Seperti dinyatakan oleh Unit Komunikasi saya semalam, surat ini adalah palsu dan tidak benar.
“Satu laporan polis akan dibuat hari ini supaya siasatan segera dapat dilakukan bagi mengenal pasti dalang di sebalik tindakan yang amat tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam catatan di Facebook.
Terdahulu media melaporkan, tular satu gambar surat sokongan yang dimuat naik di laman sosial yang mengatakan bekas Naib Presiden UMNO berkenaan mendapat sokongan Ahli Parlimen BN untuk dinamakan sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, pasukan komunikasi beliau segera menafikan dan menjelaskan surat yang mendakwa Menteri Luar itu mendapat sokongan BN untuk memimpin kerajaan baharu adalah palsu.
Surat itu juga memuatkan barisan Kabinet yang diharapkan Hishammuddin, termasuk Darell Leiking daripada Warisan sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta bekas Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar sebagai Menteri Air, Tanah dan Sumber Daya Alam.
Azalina Othman Said dari UMNO pula dilantik sebagai Menteri Luar yang seterusnya manakala bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri I, merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Pertahanan.