24 JUN: Dewan Pemuda PAS meminta kerajaan memanjangkan tempoh operasi kedai makan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam bagi pesanan e-hailing.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata tindakan itu perlu kerana sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, operasi kedai makan hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.
Bagaimanapun, Ahmad Fadhli berkata kerajaan perlu membuat pertimbangan semula berikutan terdapat trend penurunan kes jangkitan COVID-19 harian serta peningkatan kadar sembuh sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, pihaknya berharap pengoperasian kedai makan dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam.
“Dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, rakyat mengalami kesukaran untuk membeli makanan kerana masa operasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam itu amat menyukarkan rakyat, khususnya yang bekerja ketika tempoh ini untuk membeli sarapan dan makan malam.
“Perniagaan kedai makan dan penjaja kecil berkaitan makanan juga terjejas akibat pelaksanaan had waktu ini.
“Justeru, pemuda PAS percaya sudah sampai masanya kedai makan dibenarkan beroperasi untuk pesanan e-hailing dari 6 pagi hingga 10 malam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, lanjutan tempoh operasi itu sekali gus dapat membantu menyelesaikan isu kekurangan pendapatan pengusaha kedai makan dan penjaja serta masalah kesukaran membeli makanan.
Katanya, had operasi kedai makan yang sangat singkat itu juga menyebabkan ketakutan dan kerisauan rakyat, lebih-lebih lagi mereka melihat seolah-olah kerajaan tidak ada jalan penyelesaian untuk mengeluarkan negara dari pandemik COVID-19.
“Perlanjutan operasi kedai makan akan dapat mengendurkan kerisauan serta mengurangkan tekanan dalam kalangan masyarakat apabila mereka dapat menikmati sedikit kehidupan seperti biasa sebelum adanya pandemik.
“Sudah tiba masanya kerisauan dan ketakutan rakyat dikendurkan secara perlahan-lahan, dan memastikan mereka dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik,” katanya.