24 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan mengumumkan pakej bantuan COVID-19 dalam skala besar, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin.
Bagaimanapun, beliau tidak memberi sebarang perincian berhubung bantuan terbabit, termasuk jumlah dan bila perkara itu akan diumumkan.
“Saya tidak mahu mendahului kerana Perdana Menteri akan mengumumkan perkara ini,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) itu berkata demikian pada sesi libat urus seiring Mesyuarat Agung Tahunan Ke-45 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) yang diadakan secara maya, hari ini.
Khairy membuat kenyataan itu ketika menjawab soalan dikemukan bekas Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Sri William Cheng berhubung usaha dijalankan kerajaan bagi membantu peniaga yang berdepan tekanan ekonomi ketika COVID-19.
Sejak negara dilanda COVID-19, kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej bantuan bagi meringankan bebanan rakyat dan peniaga yang terjejas dengan pandemik itu.
Pakej bantuan itu, termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin.
Selain itu, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).