24 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan bukan kerajaan (NGO) memberikan sokongan kepada usaha menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Beliau berkata usaha kerajaan yang dibantu pembabitan GLC dan NGO serta sektor swasta amat diperlukan dalam memastikan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang mendapat suntikan vaksin COVID-19.
Katanya, ketika ini sememangnya pihak berkenaan ada menjalankan untuk menjayakan program berkenaan, termasuk sumbangan Sime Darby Plantation, Yayasan Sime Darby dan OKU Sentral yang membantu proses vaksinasi golongan orang kurang upaya (OKU) di pusat pemberian vaksin (PPV) OKU pandu lalu pertama negara di Menara Sime Darby Plantation, Ara Damansara.
“Terima kasih kepada semua petugas kesihatan, OKU Sentral sebagai pengendali, para sukarelawan OKU, Sime Darby Plantation dan Yayasan Sime Darby yang membantu menaja lokasi dan perkhidmatan logistik sepanjang program vaksinasi OKU ini dijalankan,” katanya menerusi status dimuatnaik di Facebook rasminya, hari ini.
Muhyiddin pada hari ini mengadakan lawatan ke PPV berkenaan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun serta Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi.
PPV OKU pandu lalu itu dibuka khas bagi membantu komuniti OKU menerima suntikan vaksin mengikut kesesuaian dan keadaan mereka dengan dibantu sukarelawan berpengalaman.
Selain itu, Muhyiddin berkata, proses vaksinasi OKU bukanlah suatu tugas mudah kerana sifat atau tidak balas mereka berlainan daripada individu bukan daripada golongan terbabit.
“Kesabaran petugas kesihatan dan sukarelawan di PPV ini mendepani karenah mereka amat dihargai, malah langkah menyediakan bilik bertenang atau calm room dilengkapi permainan serta alunan muzik juga adalah satu inisiatif yang amat baik dalam membantu menenangkan anak-anak OKU ini.
“Saya amat berbangga dengan kesedaran ahli keluarga dan penjaga kepada individu OKU tentang ancaman virus COVID-19 serta menghargai sokongan mereka terhadap program imunisasi,” katanya.