24 JUN: Biarpun lebih tiga minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan bagi membendung COVID-19, masih ramai individu tidak mempunyai tanggungjawab untuk membantu menjayakan usaha terbabit apabila seramai 761 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) arahan berkenaan, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 741 individu dikompaun dan 19 direman, manakala seorang dijamin.
“Rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan atau minum di premis merekodkan kesalahan tertinggi semalam dengan 197 individu.
“Kesalahan lain adalah tidak memakai pelitup muka (152), gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (127) dan tiada penjarakan fizikal (100).
“Manakala kesalahan membawa penumpang berlebihan (62), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (61), premis gagal patuhi arahan (15) dan lain-lain (47),” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN