24 JUN: Selepas beberapa organisasi antarabangsa mengadakan urus niaga dengan Malaysia kerana yakin dengan prestasi baik semasa, terkini syarikat pengeluar modul solar kelima terbesar dunia, Risen Energy Co Ltd yang berpangkalan di China membuat pelaburan sebanyak RM42.2 bilion di negara ini bagi tempoh 15 tahun, bermula 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata syarikat di bawah Risen Solar Technology Sdn Bhd itu menerima kelulusan Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi aktiviti reka bentuk, pembangunan dan pengilangan sel serta modul solar.
Katanya, pelaburan itu dijangka menyediakan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini, malah mewujudkan kerjasama dengan universiti dan institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan serta pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara latihan praktikal.
“Pelaburan daripada syarikat Risen Energy Co Ltd ini adalah satu kejayaan besar buat negara, sekali gus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia bergelut dengan cabaran COVID-19.
“Saya juga yakin kehadiran Risen Solar Technology Sdn Bhd akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar,” katanya menerusi muat naik di Facebook rasminya, hari ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi dan Presiden Risen Energy Co Ltd, Xie Jian secara maya.
Yang turut hadirm Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, ketika ini terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar sedang beroperasi di Malaysia, seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power.
Malaysia juga, katanya, mengamalkan prinsip mesra pelaburan serta sentiasa mengalu-alukan kemasukan sektor itu dan berkualiti ke negara ini.
“Pelbagai galakan dan insentif disediakan kepada pelabur serta bakal pelabur dan saya menegaskan akan memastikan pelaksanaan projek yang dirancang syarikat itu berjalan lancar,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi seumpama itu akan menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia, selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara.
“Ini pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat daripada segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan,” katanya.