24 JUN: Semua pemimpin politik sama ada penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu pun Pakatan Harapan (PH) perlu sentiasa mengutamakan politik kenegaraan bukan kepartian yang hanya mementingkan berebut kuasa, jawatan dalam parti dan soal siapa jadi Perdana Menteri seterusnya.
Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya, berkata keadaan itu menyebabkan keadaan dan suasana politik negara menjadi tidak stabil dan berlaku perebutan kuasa, sentiasa timbul pelbagai skandal, budaya lompat parti dan sebagainya.
“Dalam situasi Malaysia dilanda COVID-19 ini sepatutnya semua pihak tidak kira Ahli Parlimen atau pemimpin menyokong kerajaan PN mahu pun PH perlu meletakkan bahawa soal ekonomi negara dan nyawa rakyat lebih penting daripada segalanya atau melepasi sempadan politik kepartian.
“Kalau seseorang pemimpin atau wakil rakyat tidak boleh memenuhi aspirasi berkenaan baik mereka berundur sekarang daripada terus menyusahkan rakyat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Pengasas Gerakan Pembela Ummah (Ummah) itu berkata semua pemimpin politik baik dalam UMNO mahu pun BERSATU dan PAS mahu parti lain kena menyatakan secara jelas komitmen mereka untuk mempertahankan prinsip asas terutama kedudukan hak istimewa orang Melayu/Bumiputera, agama Islam dan Raja-Raja Melayus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita boleh berbeza pandangan dan fahaman politik namun segala prinsip berkenaan perlu didokong oleh semua pihak tidak kira parti memerintah Malaysia sekarang mahu pun pembangkang.
“Kalau semua prinsip berkenaan diabaikan tiada gunanya kita melaungkan ‘kerajaan Melayu/Islam’ jika mereka tidak memperjuangkan hak orang Melayu/Islam, mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu dan agama Islam hanya sekadar retorik pada nama sahaja buat apa,” katanya.
Beliau berkata penegasan itu perlu bagi mengelak kerajaan menjadi bahan ketawa orang sahaja kerana hanya sekadar melaungkan slogan ‘kerajaan Melayu/Islam’ hanya pada nama sahaja tetapi tidak diperlihatkan melalui dasar yang lebih jelas.
Amiruddin berkata semua pemimpin politik yang ada skandal sama ada rasuah, video seks, luar tabii dan sebagainya perlu berundur dari politik dan tidak bertanding pada PRU-15 nanti.
Ini perlu kerana kata Amiruddin kerana golongan berkenaan sebenarnya sudah hilang maruah diri dan jati diri.
“Jangan bercakap pasal perjuang jika diri mereka terpalit dengan pelbagai skandal. Jadi mereka yang kes sama ada pemimpin dalam kerajaan sekarang atau bukan lebih baik berundur secara baik.
Beliau juga menasihatkan semua pemimpin yang lanjut usia melebihi 70 tahun ke atas supaya berhenti atau bersara dari arena politik tanah air bagi memberi peluang kepada golongan muda mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
“Malaysia sepatutnya mengikut contoh negara lain yang memberi peluang kepada golongan muda berusia 30-an dan 40-an memegang jawatan dalam parti politik mahu pun kerajaan.
“Jadi bagi saya mereka yang sudah berusia 70-an, 80-an atau 90-an itu sepatutnya boleh fikirkan untuk bersara daripada arena politik kerana mereka sudah tiada visi dan misi untuk memajukan negara kecuali demi kepentingan diri sahaja,” katanya.
Amiruddin berkata semua parti politik Melayu/Islam perlu mengubah strategi dengan meletakkan calon di kawasan majoriti Melayu melebihi 60 peratus bagi memudahkan pengundi membuat pilihan tepat siapakah bakal wakil mereka.
“Kalau masih mengharap undi kaum lain untuk memang susah nak menang kerana parti Melayu/Islam terpaksa mengadaikan kepentingan orang Melayu/Islam demi meraih satu atau dua undi bukan Melayu,” katanya.
Semua pihak juga perlu mengembalikan semula peranan Dewan Negara medan ‘semak dan imbang’ kepada sebarang rang undang-undang atau usul diluluskan oleh Dewan Rakyat bukannya ibarat ‘rubber stamp’.
Negara juga harus kembali memartabatkan kembali peranan ulamak bebas dan adil sebagai badan penasihat kerajaan tetapi bukan ulamak ‘parti’ atau berjawatan dalam kerajaan.
“Sebab bagi saya, kalau kita tolak padangan ulamak maka negara akan menjadi huru hara kerana kerajaan hanya mengikut pandangan mereka berpendidikan sekular sekali gus menyebabkan negara dan kerajaan tiada keberkatan dari Allah SWT.
“Langkah ini perlu bagi mengelakkan pentadbiran negara menjadi umpama ‘layang-layang putus tali’ terbang ke mana-mana tanpa arah tuju,” katanya.