25 JUN: Malaysia hari ini merekodkan peningkatan semula kes sembuh COVID-19 melebihi paras 6,000 kes iaitu sebanyak 6,775 dicatatkan, menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 657, 739 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kes aktif pula menurun semula kepada 60,117 kes berbanding semalam, iaitu 61,162 kes.
Menurut beliau, jumlah kes kematian wabak tersebut pada hari ini merekodkan kembali peningkatan iaitu 82 kes, menjadikan jumlah kumulatif kematian kes pandemik terbabit di Malaysia adalah sebanyak 4,803 kes atau 0.66 peratus daripada keseluruhan kes.
“Sebanyak 82 kes kematian pada hari ini dan daripada jumlah itu, 31 kes dicatatkan di Selangor, 18 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lapan kes di Johor, lima kes di Negeri Sembilan dan empat kes di Sarawak.
“Selain itu, masing-masing tiga kes di Wilayah Persekutuan Labuan, Pahang, dan Kedah, masing-masing dua kes di Pulau Pinang dan Kelantan, serta masing-masing satu kes di Sabah, Perak, dan Melaka,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan kes baharu hari ini mencatatkan 5,812 dan daripada jumlah itu, 5780 kes daripada adalah kes tempatan manakala 32 kes merupakan kes import.
“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 870 orang termasuk dan 433 yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kluster baharu pula menunjukkan menurunan iaitu 21 kluster berbanding semalam 30 kluster dan daripada jumlah itu, 18 kluster dicatatkan di tempat kerja, dua kluster komuniti serta satu kluster di pusat tahanan.
Bagi kluster tempat kerja, Noor Hisham memberitahu, tujuh daripadanya direkodkan di Selangor iaitu Tapak Bina Lebuh, Tapak Bina Jalan City , Industri Jalan Seruling 59, Industri SS Lapan Dua, Industri Jalan Norton, Jalan Cyberia Dua dan Industri Kilometer 17 Rawang.
“Di Kuala Lumpur, empat kluster baharu tempat kerja telah dicatatkan iaitu tapak bina Jalan Utara, tapak bina Matahari 2 , Jalan Taman Ibu Kota dan Jalan Raja Muda Musa.
“Manakala selebihnya terletak di Jalan Nirwana Dua, Melaka; Wakaf Aik, Kelantan; Jalan Kampung Jawa, Pulau Pinang; Kailan Tringkap, Pahang; Dah 11 Industri Sungai Petani, Kedah dan Jalan Kidurong Lima di Sarawak.
“Kluster komuniti pula telah dikesan di
Pengkalan Gelugor, Terengganu dan Jalan Laksamana Intan, Perak manakala Kilometer 23 Puncak Borneo merupakan kluster baharu di pusat tahanan,” katanya.
Tambah Noor Hisham, jumlah keseluruhan kluster kini berjumlah 2,741 dan sebanyak 1,868 kluster telah ditamatkan di samping hanya 873 kluster yang masih aktif- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH