25 JUN: Kementerian Wilayah Persekutuan menyediakan lima inisiatif tambahan bagi meneruskan agenda prihatin rakyat sekali gus meringankan beban kewangan golongan sasar.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata inisiatif itu seiring Pelan Pemulihan Negara (PPN) membabitkan penangguhan bayaran balik pinjaman perumahan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama enam bulan.
“Ini akan dimanfaatkan 6,444 peminjam bermula Julai hingga Disember ini, membabitkan pengecualian hasil kepada YWP berjumlah RM10.9 juta.
“Selain itu, kita juga melaksanakan pengurangan 50 peratus bayaran sewa bulanan PPR MTEN, PA DBKL dan PA Perbadanan Labuan (PL) bermula Jun hingga Disember kepada 36,124 penyewa membabitkan pengecualian hasil kepada kerajaan RM17 juta,” katanya.
Sebagai langkah tambahan bagi membantu menyokong kelangsungan perniagaan di Wilayah Persekutuan, pihak DBKL dan Perbadanan Putrajaya (PPj) memberi rebat cukai taksiran tahun ini bagi premis perniagaan komersial tertentu.
Ia membabitkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), hotel dan pusat beli-belah di Kuala Lumpur serta Putrajaya.
“Ia membabitkan pengecualian hasil DBKL berjumlah RM23.51 juta, manakala rebat cukai taksiran PPj 2021 bagi bangunan komersial dan perindustrian di Putrajaya pula 10 peratus dengan pengecualian hasil kepada perbadanan itu RM1.51 juta,” katanya.
Beliau berkata, bayaran cukai taksiran 2021 DBKL, PPj dan PL juga diberi penangguhan sehingga Disember ini selain pengecualian penalti denda lewat cukai taksiran tertunggak tahun lalu dan tahun ini yang memberi manfaat kepada semua pemilik kediaman dan premis komersial di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.