25 JUN: Sebanyak 1,716 kilang dan 11,417 premis perniagaan diperiksa pasukan Task Force Operasi Pematuhan, semalam bagi memastikan pengurusannya mematuhi perintah kawalan pergerakan (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, daripada jumlah itu, dua kilang dan 11 premis perniagaan diarahkan ditutup.
“Seperti diumumkan, kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh daripada segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran terhadap arahan kerajaan serta SOP diwartakan.
“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan sudah melaksanakan 97,560 pemeriksaan dan ‘snap check’ COVID-19 di seluruh negara sejak PKP penuh dengan jumlah kekuatan anggota sebanyak 21,248 orang,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata seramai 696 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP, semalam dan daripada jumlah itu, 671 individu dikompaun, manakala 25 direman.
“Kesalahan tertinggi direkodkan adalah rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran atau makan atau minum di premis, iaitu seramai 163, disusuli tidak memakai pelitup muka (156) dan gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (118).
“Selain itu, tiada penjarakan fizikal (107), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (58) dan membawa penumpang berlebihan (36).
“Premis gagal patuhi arahan (13) dan lain-lain (45),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN