25 JUN: Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif mendedahkan pernah didatangi beberapa individu, mahupun pihak mewakili Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Salim untuk memberi sokongan.
Namun, beliau yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata, beliau tidak melayan sebarang usaha mana-mana pihak untuk memujuknya menandatangani surat akuan bersumpah (SD) bagi menyokong sesiapa sebelum ini.
Mohd Salim menegaskan keputusan penolakan dibuat kerana usaha-usaha berkenaan adalah bersifat persendirian dan berpegang kepada ketetapan diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu ‘No Anwar, No DAP’ dan sokongan kepada kerajaan PN akan diteruskan sehingga pembubaran Parlimen kelak.
“Saya mengakui dihubungi beberapa individu termasuk orang Anwar sendiri (untuk tandatangan SD) sebelum ini namun saya masih menganggap diri ini mewakili UMNO dan rakyat kawasan (Parlimen) saya.
“Tidak mungkin saya akan melayan sebarang usaha persendirian sebegini,” katanya kepada media, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Salim yang juga Ahli MKT UMNO turut menegaskan kesemua 38 ahli Parlimen UMNO sudah mempunyai hala tuju jelas.
“Iaitu sekarang ini adalah untuk mempertahankan kerajaan PN ketika ini, lebih-lebih lagi negara sedang berdepan krisis COVID-19,” katanya.