25 JUN: Britain semalam menarik semula prosedur operasi standard (SOP) berhubung sekatan perjalanan terhadap beberapa negara, apabila individu yang mengunjungi Malta dan Kepulauan Balearic di Sepanyol sudah tidak perlu menjalani kuarantin selepas pulang.
Menteri Pengangkutan Britain, Grant Shapps, berkata destinasi percutian popular itu akan dimasukkan kerajaan ke dalam ‘senarai hijau’ mulai 30 Jun ini yang menyaksikan tiada kuarantin kendiri perlu dijalankan individu dalam tempoh 10 hari apabila kembali ke negara berkenaan.
“Kami menambah Malta ke dalam ‘senarai hijau’ kerajaan. Kami juga memasukkan Madeira, Kepulauan Balearic, beberapa Wilayah Luar Negara United Kingdom (UK) dan Kepulauan Caribbean (termasuk Barbados) ke dalam senarai itu,” katanya menerusi status dimuat naik di Twitter.
Shapps berkata, Israel turut dimasukkan ke dalam senarai itu, namun mereka yang mengunjungi destinasi terbabit masih perlu menjalani ujian COVID-19 dalam tempoh dua hari selepas pulang.
Sebelum ini, negara terbabit berada dalam senarai yang mewajibkan individu yang kembali dari destinasi berkenaan menjalani kuarantin.
Menurut Shapps, langkah kerajaan itu bertujuan membolehkan rakyat UK yang sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya, tidak lagi perlu kuarantin diri apabila melakukan perjalanan dari negara disenaraikan.
“Beliau berkata, lebih banyak perincian berhubung perkara itu akan diumumkan pada bulan depan,” katanya.
Banyak destinasi Eropah bergantung pada sambutan pelancong Britain dan industri pelancongan turut menggesa sekatan ditarik balik.
Namun, Britain kini bergelut dengan satu lonjakan baharu kes COVID-19 akibat penularan varian Delta dari India.