25 JUN: Pendirian ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sekiranya dikemukakan pada sidang Parlimen akan datang membuktikan keteguhan muafakat ummah terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau mengharapkan agar semua parti yang mendukung kerajaan PN dapat bertindak selari dengan keputusan yang telah diambil oleh kerajaan Persekutuan.
“PAS menyambut baik langkah yang diambil oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN yang menggambarkan keteguhan muafakat mendukung kerajaan PN.
“Kita harap semua parti yang mendukung kerajaan kini dapat bertindak selari dengan keputusan yang diambil oleh kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN bersetuju supaya Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau mengikut apa-apa kesesuaian pindaan yang diperlukan.
Ismail Sabri berkata, mereka memang menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang telah diadakan pada 16 Jun 2021.
Beliau menegaskan, Ahli Parlimen daripada parti UMNO/BN juga sepakat untuk terus mendukung Pelan Pemulihan Negara yang telah dibentangkan oleh Kerajaan sebagai suatu usaha dalam memperkasa langkah-langkah kawalan penularan wabak COVID-19 dalam negara.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memaklumkan PAS juga mendokong Pelan Pemulihan Negara sebagaimana yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga merupakan Menteri Alam Sekitar dan Air berkata PAS juga akan menggerakkan seluruh jentera partinya bagi membantu kempen Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Langkah kerajaan itu adalah satu keputusan yang wajar bagi meredakan suhu politik dengan memberi fokus kepada penyelesaian masalah rakyat dengan pelbagai langkah segera.
“Di saat pandemik COVID-19 yang masih menjadi ancaman, ini bukanlah masa sesuai untuk berpolimik dengan isu yang tidak membantu Pelan Pemulihan Negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH