25 JUN: Kontraktor G1 dan G2 yang dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memohon kebenaran polis untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata setiap permohonan itu perlu disertakan dokumen pendaftaran syarikat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bukti projek dijalankan.
“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pengurusan COVID-19 hari ini memutuskan kontraktor berkenaan yang dilantik untuk melaksanakan kerja pembinaan bagi projek berskala kecil, dibenar beroperasi serta-merta dengan kebenaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau polis.
“Surat kebenaran dikeluarkan polis tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa bagi mengekang penularan COVID-19.
“Bagi tukang paip, penyelenggara dan penjaja tepi jalan yang tiada majikan, permohonan bergerak hendaklah diperoleh daripada polis secara ‘one-off’, malah kebenaran diperoleh sebelum ini masih terpakai,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Portal PN BBC semalam, melaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), membenarkan kontraktor G1 dan G2 melaksanakan kerja pembinaan bagi projek berskala kecil sepanjang PKP ketika ini, berkuatkuasa serta merta.
KPKT mengatakan, kebenaran diberikan kepada kontaktor dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, selaras keputusan Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 21 Jun lalu.