25 JUN: Kerajaan diharap mengkaji dan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat di tempat kerja bagi membantu membendung penularan jangkitan COVID-19.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, kajian dan pelaksanaan itu penting untuk dijalankan memandangkan data menunjukkan majoriti kes positif COVID berpunca daripada kluster tempat kerja.
“Adakah kluster tempat kerja berlaku disebabkan kegagalan majikan mematuhi SOP atau SOP yang ada tidak sesuai.”
“Ketidaktentuan ini menunjukkan bahawa satu kegagalan pihak majikan dan wajar diambil tindakan,” katanya menerusi kenyataan kepada Portal PN BBC, hari ini.
Kamarul Baharin berkata, kerajaan perlu melibatkan MTUC dalam merangka SOP berkenaan kerana pengetahuan pekerja yang terbabit secara langsung dalam industri boleh memberikan nilai tambah bagi menyediakan peraturan lebih sesuai, sekali gus mencegah peningkatan kes di tempat kerja.
“SOP khusus kepada majikan, seperti sebelum dibenarkan beroperasi semua pekerja diwajibkan membuat ujian serta laporan wakil pekerja dalam Jawatankuasa Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSH) di tempat kerja perlu diwajibkan,” katanya.
Selain itu, Kamarul Baharin berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai pembuangan pekerja secara mendadak akibat COVID-19 dan sudah mengambil beberapa inisiatif bagi mengatasi isu berkenaan.
“MTUC mencadangkan Peraturan Pekerjaan Darurat (PPD) diperkenalkan bertujuan menghalang pembuangan pekerja dan sudah menghantarnya kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0.
“Kerajaan perlu merangka ‘Pelan Pekerja’ kepada pekerja diberhentikan, menganggur dan akan dibuang selepas pasca COVID-19 kerana usaha ini akan menjelaskan hala tuju kerajaan dalam membantu pekerja terjejas,” katanya.
Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, MTUC juga mendesak kerajaan membuka semula sektor ekonomi selepas 28 Jun ini kerana kebanyakan pekerja tidak dapat bertahan dalam keadaan tiada sumber pendapatan.
“Pembukaan sektor ekonomi yang lain akan memberikan keadilan kepada pekerja bergaji hari.
“Kes harian tidak stabil kerana disumbangkan kluster tempat kerja ini tidak adil kepada pekerja yang patuh SOP PKP tetapi tidak dibenarkan bekerja sehingga tiada punca pendapatan,” katanya.
Kerajaan juga, katanya, dimohon memberikan bantuan kepada golongan B40 dan M40 sebanyak RM1,200 sebulan serta mengarahkan bank memberikan moratorium secara automatik kepada mereka, bertujuan meringankan bebanan berdepan keadaan sukar kini.
Sementara itu, Kamarul Baharin berkata, MTUC mendesak kerajaan supaya mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua pekerja.
“Kelewatan memberikan vaksin menimbulkan persoalan sama ada kerajaan sudah menerima bekalan vaksin daripada pembekal, kelewatan membeli vaksin atau ada isu lain dalam pengaagihan vaksin,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN