25 JUN : Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara mengumumkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menarik pelaburan RM16 bilion bagi 2021 dan bakal mewujudkan 19,652 peluang pekerjaan.
Pengumuman pelaburan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) Ke-26 secara sidang video yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan, NCIA berkata, pelaburan yang diterima itu adalah kerjasama NCIA dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan pada 15 Jun 2021.
Kata kenyataan itu lagi, pelaburan yang diperoleh itu adalah bukti kejayaan agensi berkenaan dalam membina ekosistem berdaya tahan yang mendorong pemulihan era pasca pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama, menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk rakyat.
Pihak NCIA pada mesyuarat itu juga membuat pembentangan berhubung perkembangan terkini projek sosioekonomi seperti pelan pemulihan COVID-19 dan juga pelaksanaan program modal insan yang bertumpu kepada pembangunan rakyat di NCER.
Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyaksikan lapan syarikat menyatakan komitmen pelaburan berimpak tinggi di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis.