25 JUN: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menegaskan kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya peruntukan untuk memanggil Parlimen bersidang tidak mempunyai kesan di bawah perenggan 14(1)(a) Ordinan Darurat selama tempoh darurat berkuat kuasa.
Beliau menjelaskan Perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen pada tarikh `sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong’.
“Sehubungan itu, selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan, penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri sekurang-kurangnya 28 hari sebelum pemulaan tiap-tiap penggal.
“Baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan berikutan pelbagai pihak kebelakangan ini memberikan pandangan mengenai kuasa Yang diPertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang dan kewajipan baginda bertindak atas nasihat Jemaah Menteri seperti diperuntukkan bawah Perlembagaan Persekutuan.