25: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan pemilihan parti itu tidak semestinya ditangguhkan sehingga 18 bulan walaupun perlembagaan parti membenarkannya.
Beliau berkata, pemilihan mungkin diadakan lebih awal jika keadaan penularan jangkitan COVID-19 semakin baik.
“Berdasarkan perlembagaan UMNO, kita boleh tangguh selama 18 bulan. Tetapi, tak semestinya kita perlu tunggu selama 18 bulan untuk mengadakan pemilihan parti.
“Sekiranya situasi semakin baik, kita mungkin boleh mengadakan pemilihan lebih awal,” katanya kepada media tempatan.
Terdahulu menerusi laporan media, UMNO dijangka menangguhkan pemilihannya selepas majoriti Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, bersetuju berbuat demikian selama 18 bulan.
Menurut sumber yang juga ahli MT UMNO, keputusan itu dibuat berdasarkan perlembagaan parti dan kata sepakat dicapai melalui satu resolusi yang dibuat secara dalam talian.