25 JUN: UMNO dijangka menangguhkan pemilihannya selama 18 bulan selepas majoriti Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu, bersetuju berbuat yang diputuskan berdasarkan perlembagaannya.
Perkara itu turut disahkan MT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang memaklumkan parti itu sudah mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menyarankan pemilihan ditangguhkan.
“Semua setuju tangguh pemilihan, jadi, selepas penangguhan selama 18 bulan, pemilihan UMNO dijangka diadakan awal 2023,” katanya ketika dihubungi portal Malaysiakini.
Menurut sumber UMNO, kata sepakat itu dicapai melalui satu resolusi dibuat secara dalam talian, selepas MT parti tidak dapat bermesyuarat ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan kini.
“MT buat keputusan dalam bentuk ‘circular resolution’. Ini pernah dibuat sebelumnya.
“Kita buat sebegini kerana MT UMNO tidak dapat dipanggil untuk bermesyuarat,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mengendahkan gesaan agar pemilihan parti itu diadakan.
Beliau berkata, tempoh Ahmad Zahid sebagai Presiden sepatutnya berakhir bulan ini dan selepas itu pemilihan baharu mesti diadakan.
“Ahmad Zahid ni, dia suruh buat Parlimen secepat mungkin.
“Kalau (sesuatu yang) mendorong kepada pilihan raya umum (PRU) minta secepat mungkin, tapi pemilihan parti buat-buat tak dengar,” kata Nazri.