25 JUN: Industri pembinaan sedang berdepan kegawatan rantaian bekalan disebabkan kuari tidak dibenarkan beroperasi sejak pelaksanaan sekatan pergerakan (PKP) penuh.
Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Tan Sri Sufri Mhd Zin berkata, disebabkan itu bekalan bahan binaan seperti agregat telah berkurangan dan beberapa loji kelompok konkrit campuran siap yang dibenarkan beroperasi tidak dapat memenuhi permintaan bekalan konkrit kepada kontraktor.
“Kerja pembinaan kritikal yang dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh ini menghadapi kadar stok rantaian bekalan yang rendah.
“MBAM menggesa kerajaan membenarkan rantaian bekalan industri pembinaan beroperasi semula,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sufri, pihak industri dimaklumkan pengusaha kuari hanya dibenarkan membekalkan bahan binaan daripada stok yang mereka sedia ada sementara letupan dan pengekstrakan dilarang.
“Pada masa ini, hanya 10 peratus tenaga kerja pemain keluli dan simen dibenarkan, yang lain-lain menganggur atau melakukan kerja penyenggaraan, tanpa operasi pengeluaran.
“Peserta keluli dan simen amat kritikal dalam rantaian bekalan industri pembinaan, membekalkan produk keluli dan simen kepada projek infrastruktur kritikal seperti MRT, LRT3 dan ECRL.
Dengan penghentian pengeluaran hampir sebulan, rantaian bekalan terhadap projek kritikal dan projek-projek lain akan terganggu,” tambahnya.