25 JUN: Persoalan bilakah giliran penggiat sektor pembinaan akan disuntik vaksin COVID-19 kini terjawab apabila golongan itu akan menerima imunisasi terbabit bermula 1 Julai ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata pemberian itu akan memfokuskan kawasan tapak pembinaan yang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, usaha itu dilaksanakan dengan penyelarasan bersama Kementerian Kerja Raya (KKR).
“Pada masa sama, pemberian vaksin sektor ini tidak akan mengganggu PICK yang sedang berjalan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) Sektor Pengangkutan (MARITIM) di Dewan Kelab Sukan LPK di Pelabuhan Klang, hari ini.
Selain itu, Khairy berkata, sehingga semalam pemberian vaksin di seluruh negara sudah mencapai 15.1 peratus membabitkan suntikan dos pertama dan 5.8 peratus melengkapkan dos kedua.