26 JUN: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, hari ini memberi penjelasan mengenai isu pertikaian Malaysia terhadap dakwaan kononnya Kesatuan Eropah (EU) membolot bekalan tiada kaitan dengan kelulusan eksport vaksin.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata Malaysia menerima lebih empat juta vaksin dari kilang di Belgium, selepas menjelaskan bayaran mengikut harga yang dipersetujui.
Katanya, EU tidak mengenakan sekatan eksport terhadap penghantaran bekalan vaksin yang dibeli oleh Malaysia.
“Saya rasa dia tidak faham apa yang saya sebut. Saya bukan cakap tentang vaksin yang kita beli dari Belgium dan memang sudah dapat lebih empat juta.
“Itu vaksin yang kita beli. Malaysia sudah bayar pun. Saya sebut tentang pembelian vaksin EU sehingga melebihi keperluan penduduk mereka, menjangkau ratusan juta dos.
“Itu maksud saya. Bukan sekatan vaksin yang kita sudah beli. Saya berterima kasih kepada EU kerana tidak sekat perolehan vaksin berkenaan.
“Bila dia bagi jawapan sebegitu, (seolah-olah) saya cakap tentang durian, dia cakap pasal rambutan,” katanya selepas meninjau program imunisasi bagi ibu mengandung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Dalam pada itu, Khairy menjelaskan kadar imunisasi di Selangor masih rendah meskipun merekodkan banyak kes COVID-19, bukan berpunca daripada isu kekurangan bekalan vaksin.
Beliau berkata Selangor mengalami isu kapasiti pemberian vaksin yang rendah, iaitu sekitar 20,000 dos sehari sebelum ini.
“Menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri, jumlah pemberian suntikan berupaya ditingkatkan kepada 50,000 dos sehari tetapi masih tidak mencukupi kerana jumlah itu mesti digandakan kepada 100,000 dos sehari.
“Kita buka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) mega dan sebagainya, demi untuk tingkatkan kadar penggunaan vaksin. Justeru isu di Selangor bukan disebabkan masalah bekalan.
“Sebaliknya, mereka bergelut dengan isu kapasiti penggunaan vaksin dan dikenal pasti sebagai negeri yang merekodkan antara kadar imunisasi terendah di Malaysia,” katanya.