26 JUN: Malaysia mengusir keluar seorang penjenayah eksploitasi seks kanak-kanak, warga Amerika Syarikat (AS), Scott Barry Uchida, dari negara ini pada Rabu lalu melalui Lapangan Terbang Subang dengan menaiki pesawat tentera AS.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, Uchida berjaya memasuki Malaysia kerana dia hanya dikehendaki di AS dan tidak ada Notis Merah Interpol dikeluarkan terhadapnya.
Beliau berkata polis melakukan penangkapan itu selepas menerima permintaan daripada FBI untuk mendapatkan bantuan.
“Uchida ditahan di Selangor pada 21 April dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dipindahkan ke Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI).
“Setakat ini, tidak ada laporan mengenai kesalahan seksual yang dilakukan tertuduh di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan dalam satu kenyataan, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengesahkan Scott Barry Uchida yang berusia 38 tahun ditangkap pada 21 April lalu.
Dalam pada itu beliau berkata Uchida juga dikehendaki untuk kes rogol, rogol kanak-kanak dan mempromosikan penderaan seksual komersial terhadap kanak-kanak bawah umur.